widgeo.net


widgeo.net
copyright @ admin
 


Makluman Mengenai Cuti Peristiwa Sekolah
admin_sktk on 02/15/2010 at 3:40am (UTC)
 Permohonan cuti peristiwa sekolah tidak akan diluluskan oleh Jabatan Pelajaran Perak jika pihak sekolah menjalankankan aktiviti pada hari Sabtu dan memohon cuti pada hari Isnin minggu berikutnya. Jika pihak tuan puan mempunyai kemusykilan berhubung dengan perkara tersebut, sila rujuk Pekeliling J.Pen.Pk.Pend. 108/Jld 2/ (56) bertarikh 6 Jan 1995.


Sehubungan itu pihak sekolah disarankan menjalankan aktiviti pada hari persekolahan dan memohon cuti pada hari berkenaan sahaja. Jika aktiviti dijalankankan pada sebelah petang pihak sekolah boleh memohon cuti keesokan harinya dengan syarat pada hari berkenaan P&P dijalankan seperti biasa mengikut jadual waktu persekolahan.

Sumber ; Portal PPD Kerian
 

Nasi Bungkus Untuk Kursus Guru
admin_sktk on 02/15/2010 at 3:38am (UTC)
 Peruntukan dicatu jejas usaha memartabatkan taraf profesionalisme pendidik

KUALA LUMPUR: Guru menghadiri kursus atau latihan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran negeri selama ini menikmati hidangan bufet ketika rehat dan makan tengah hari, boleh melupakan amalan itu apabila kini hanya disediakan nasi bungkus dan air mineral untuk makan tengah hari dan sepotong kuih dengan air teh atau kopi untuk minum pagi dan petang.

Difahamkan, untuk seharian kursus tanpa bermalam, peruntukan untuk makanan hanya RM4 sehari.



Sambil mengakui kebenaran itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga mendedahkan Kementerian Pelajaran sudah mengurangkan peruntukan untuk kos latihan dan kursus guru, selain tiada lagi peruntukan untuk aktiviti sekolah dan majlis seperti sambutan Hari Guru.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata beliau sedih dengan perkembangan itu yang pastinya akan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar di sekolah.

"Kami menerima banyak aduan daripada guru yang menghadiri kursus dengan mendakwa dibekalkan sepotong kuih dan secawan kopi atau teh untuk minum pagi dan petang, manakala nasi bungkus satu lauk dan sayur dengan air kosong untuk makan tengah hari.

"Keadaan ini menyedihkan, sedangkan kursus dihadiri itu adalah untuk menaik taraf profesionalisme guru," katanya dihubungi semalam.

Beliau berkata, sambutan Hari Guru yang bakal diadakan di Pahang, Mei ini juga tidak disediakan peruntukan dan NUTP tidak tahu bagaimana majlis berkenaan dapat dilangsungkan.

Katanya, Kementerian Pelajaran perlu memandang serius masalah berkenaan dan membuat penyelarasan peruntukan dengan betul supaya dapat digunakan sebaiknya atau setidak-tidaknya dikekalkan seperti pada tahun-tahun sebelumnya.


"Saya akur perlu ada langkah penjimatan, namun, janganlah sampai ke tahap sekarang yang mana peruntukan menghadiri kursus terpaksa dicatu," katanya.

Sumber : Berita Harian
 

Cuepacs mahu jumpa JPA bincang isu persaraan
admin sktk on 02/02/2010 at 3:44pm (UTC)
 KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan persaraan pilihan penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, perbincangan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut JPA berhubung perkara itu setelah banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai peraturan baru itu yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam.

Beliau berkata, Cuepacs juga terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajaknya berbincang mengenainya.

“Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (Cuepacs) tidak tahu tentangnya, ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Jan lepas mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya.

Omar berkata, bayaran 20 peratus atau RM10,000 daripada ganjaran benar-benar tidak mencukupi untuk penjawat awam bersara pilihan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu pencen mereka.

“Dulu kita tidak ada masalah kerana ganjaran diberi cukup dan dapat menampung sehingga boleh terima pencen, tapi sekarang, tak ada maknanya bersara pilihan sekarang kalau dapat RM10,000 sahaja,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak mahu, akibat daripada peraturan itu, penjawat awam terutamanya dari kumpulan sederhana dan bawahan membuat pinjaman daripada Ah Long untuk menampung kehidupan. - Bernama

Sumber: www.sinarharian.com.my
 

Kementerian Pelajaran Terima Bantuan Tambahan RM 700j
admin sktk on 02/02/2010 at 3:41pm (UTC)
 CEBU 27 Jan. - Kementerian Pelajaran dijangka menerima bantuan tambahan sebanyak kira-kira RM700 juta bagi membolehkan bantuan untuk pendidikan yang dikurangkan pada Bajet 2010 lalu, diteruskan semula.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu adalah perkiraan kasar yang dibuat kementerian beliau selepas Kabinet hari ini bersetuju meluluskan usul menimbangkan semula pemberian bantuan itu.

Beliau pada mesyuarat Kabinet itu diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas sebagai Menteri Pelajaran.

"Kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan berapa bantuan yang disediakan semula itu supaya mana-mana bantuan yang terpaksa kita kurangkan sebelum ini boleh dilaksanakan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45.

Pada pembentangan Bajet 2010 lalu, kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan tahunan bagi sekolah-sekolah berbanding tahun sebelum ini kerana defisit yang didepani negara.

Pengurangan bantuan itu mencakupi enam perkara iaitu skim bantuan tuisyen, bantuan pakaian sekolah beruniform, bantuan makanan asrama dan rancangan makanan tambahan.

Turut dikurangkan ialah bantuan elaun murid berkeperluan khas dan sukan serta kokurikulum.

Menurut Muhyiddin, keputusan memberikan semula bantuan bagi pendidikan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan kerana memberi perhatian sewajarnya kepada perkara tersebut.

"Harapan saya isu bantuan kepada pendidikan selepas ini tdak lagi berbangkit di kalangan ibu bapa dan para pelajar pula tidak menjadikannya alasan untuk meneruskan pembelajaran dengan sempurna," katanya.

Sumber: www.utusan.com.my
 

Jawatan Pembantu Guru
admin sktk on 02/02/2010 at 3:38pm (UTC)
 Tiba-tiba timbul isu jawatan pembantu guru Berikutan beberapa kemalangan maut yang menimpa pelajar ketika melakukan aktiviti di luar sekolah. Terbaru, enam pelajar sekolah menengah termasuk seorang guru di Pulau Pinang maut selepas bot naga yang mereka gunakan untuk latihan mendayung terbalik selepas dipukul ombak besar Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu jawatan itu diwujudkan bagi melakukan tugas pengkeranian termasuk mengisi borang dan mengiring murid sama ada untuk acara sukan atau klinik. Dengan nisbah seorang pembantu guru bagi setiap 500 murid, guru dapat bebas daripada beban tidak perlu dan menumpu kepada tugas mengajar.

Ini kerana guru dikekang dengan pelbagai kerja pengkeranian dan tugas remeh yang mengambil banyak masa mereka selain mengajar.

Masalahnya, perlukah jawatan pembantu guru di sekolah diwujudkan? Bagaimana dengan kos untuk jawatan itu, mampukah kementerian atau sekolah membiayainya kerana guru pembantu dianggap profesional? Seorang guru pembantu perlu mempunyai kemahiran memberi rawatan kecemasan, berenang atau menguruskan murid? Guru yang hanya mahu dikenali sebagai Shima, 40, berkata pembantu guru sangat diperlukan terutama menguruskan hal pengkeranian di sekolah.

Menurutnya, masyarakat mungkin menganggap tugas guru ini senang dan hanya mengajar beberapa jam sehari.

"Hakikatnya, guru bukan hanya sekadar mengajar, tapi bertanggungjawab menguruskan pelbagai hal termasuk kerja pengkeranian dan keceriaan sekolah.

"Beban kerja yang bertambah menyebabkan kami selalu pulang lewat ke rumah.

"Selain melakukan kerja di rumah termasuk melayan anak-anak dan suami, terpaksa pula memeriksa buku murid kerana tiada masa berbuat demikian di sekolah," katanya.

Katanya, jika ada guru pembantu, mereka boleh menguruskan pembayaran yuran dan membimbing pelajar dalam persatuan.

"Kadangkala, guru sendiri terpaksa mengeluarkan duit membeli kelengkapan selain mengambil masa pembelajaran bagi menyelesaikan urusan pelajar," katanya.

Dia yang 13 tahun menjadi pengajar mengakui tugas guru membeban dan mencabar kerana melakukan pelbagai tugas yang kadangkala remeh temeh.
"Jika ada sebarang acara seperti sukan, pertandingan, aktiviti kokurikulum, guru akan mengendalikannya. Kerja menceriakan sekolah, melukis mural, menanam bunga termasuklah membeli bunga juga dilakukan guru.

"Kadangkala kami hanya ada masa 20 minit berehat. Itu belum termasuk masalah yang perlu dikendalikan membabitkan ibu bapa pelajar," katanya.

Menurutnya, bagi guru yang menjadi guru kelas kepada pelajar tingkatan tiga dan lima, kerja pengurusan lebih rumit dan meletihkan.

"Bermula dari awal tahun, guru sibuk menguruskan borang yang perlu diisi untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SMP).

"Ia belum disertakan dengan peperiksaan lain yang harus pelajar hadapi.

"Guru dibebani dengan pelbagai tugasan yang remeh sehingga mereka tidak boleh fokus untuk mengajar," katanya.

Justeru, Shima mengakui, pembantu guru adalah sangat diperlukan dan ia perlu disegerakan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Dr Mohd Ali Hassan, berkata keperluan terhadap pembantu guru amat mendesak berikutan nisbah guru dan pelajar jauh berbeza.

"Kini, beban guru lebih berat kerana mereka perlu menguruskan pelbagai hal termasuk menyelia, mengurus dan mengiringi pelajar membabitkan kokurikulum," katanya.

Mohd Ali bersetuju dengan cadangan memperkenalkan pembantu guru itu, tetapi ia harus dihalusi sebelum pelaksanaannya.

"Pembantu guru diperkenalkan bagi membantu meringankan beban guru terutama berkaitan pengurusan.

"Tetapi, skop kerja, ruang kerjaya dan tangga gaji pembantu guru itu perlu ada garis panduan.

"Kita tidak mahu pembantu guru kekal di takuk itu tanpa kenaikan gaji atau pangkat," katanya.

Selain itu, katanya, pembantu guru juga perlu mendapatkan latihan dan pendedahan yang baik dan bukan hanya sekadar melakukan kerja pengurusan pelajar," katanya.

Katanya, pembantu guru bukan sekadar menjadi pengiring pelajar dalam aktiviti luar, tetapi perlu mempunyai kemahiran merawat jika berlaku kecemasan, berenang atau kebolehan mengawal pelajar dalam jumlah yang banyak.

Beliau tidak menolak kemungkinan, ibu bapa kini takut untuk membenarkan anak mereka melakukan aktiviti luar selepas beberapa kejadian yang berlaku membabitkan kehilangan nyawa.

"Harapan kita dengan adanya pembantu guru, ibu bapa lebih yakin untuk membenarkan anak mereka mengambil bahagian dalam aktiviti di luar sekolah.

"Sekolah juga perlu bertanggung jawab dan jangan lepas tangan jika mengambil bahagian dalam aktiviti luar," katanya.

Sumber: www.hmetro.com.my
 

Sekolah Berprestasi Tinggi ( SBT )
admin..sktk on 01/30/2010 at 7:48am (UTC)
 Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

SEKOLAH Kebangsaan Bandar Uda 2, Johor Bahru antara yang terpilih Sekolah Berprestasi Tinggi.



“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

"Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:
Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
Kolej Melayu Kuala Kangsar
Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
SMS Muzaffar Syah (Melaka)


Sekolah Menengah Harian:
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
SMK (P) St George (Pulau Pinang)


Sekolah Rendah:
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
SK Bukit Damansara (KL)
SK Zainab (2) (Kota Bharu)
SK Convent Kota (Taiping)
SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)


Sekolah diberi autonomi:
Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
Memanjangkan waktu persekolahan.
Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.


Kriteria pemilihan SBT :
Pencapaian akademik yang cemerlang.
Melahirkan personaliti unggul.
Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.

Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

Sumber : Berita Harian
 

<-Back

 1  2 Continue -> 

MASA ITU EMAS
Myspace Clocks, Video Clocks at WishAFriend.com
SALAM 1 MALAYSIA
INFO TERKINI
GAMBAR KELAS 2009




 
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free